Dibentangkan oleh Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Presiden Malaysian Chinese Association (MCA)
Ringkasan Eksekutif
Saban tahun peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah mengklasifikasikan gred A+, A dan A- sebagai sebahagian kategori Gred A. Oleh itu, pentakrifan semula kategori Gred A dalam SPM 2024 secara ad-hoc oleh Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini, khususnya dalam pengecualian A- daripada kategori Gred A telah mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat.
Langkah ini dilaksanakan secara mendadak dan tidak telus telah membangkitkan persoalan berkenaan kualiti serta merit A- untuk tahun ini berbanding dengan tahun- tahun sebelumnya. Malah, ia bercanggah dengan komitmen kerajaan terhadap prinsip meritokrasi, susulan pengumuman Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 30 Jun 2024 yang menjamin tawaran matrikulasi secara automatik kepada semua lepasan SPM dengan keputusan 10A ke atas.
Pertukaran dasar dan pendefinisian semula kategori Gred A untuk tawaran automatik ke program matrikulasi ini juga telah disahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan sendiri menerusi satu hantaran dalam laman Facebook beliau pada 9 Mei 2025 dan ia bakal menjejaskan masa depan pelajar yang berprestasi baik dari semua kaum dan golongan sosioekonomi yang berlainan, khususnya mereka yang terpaksa mengharungi cabaran berbeza dalam perancangan pelanjutan pendidikan masing- masing.
Tambahan, sehingga hari ini kerajaan masih belum menangani isu kegusaran pelajar lepasan SPM yang berjaya mencapai keputusan 9A+ dalam semua subjek yang diambil daripada menerima tawaran automatik ke matrikulasi walaupun mereka berjaya mencapai prestasi akademik yang cemerlang.
Malaysian Chinese Association (MCA) berpendirian bahawa pertukaran dasar sewenang-wenangnya kepada cara penilaian gred dan peperiksaan negara, serta dasar kemasukan matrikulasi ini amat membimbangkan. Pengecualian A- dari kategori Gred A juga disifatkan sebagai langkah terburu-buru tanpa rundingan dan libat urus yang secukupnya.
Penukaran dasar ini adalah satu keputusan pentadbiran yang tidak adil dan tidak menepati prinsip keadilan, ketelusan dan kemajuan berasaskan meritokrasi. Tindakan KPM bakal membawa implikasi yang besar, dari gangguan perancangan pendidikan
dan tekanan emosi kepada pelajar dan ibu bapa, serta kehilangan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.
Justeru, MCA menggesa agar perubahan dasar ini dibatalkan dan penjelasan diberi oleh Menteri Pendidikan segera. Langkah-langkah kukuh juga harus dilaksanakan bagi memastikan pendefinisian semula kategori gred secara sewenang-wenangnya seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan.
Kertas Pendirian ini yang menggariskan pendirian MCA adalah berdasarkan kajian daripada Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) bagi mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh pelajar lepasan SPM 2024 yang disokong data dan maklumat, serta cadangan dasar bagi tujuan penambahbaikan jangka panjang kepada sistem pendidikan negara.
